As seen in Bernama News, 15 July 2015
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) — Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 11 projek bernilai RM464.6 juta dalam industri peranti perubatan, yang akan mewujudkan 1,633 pekerjaan, pada suku pertama 2015.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azman Mahmud berkata 82 peratus daripada projek itu membabitkan pelaburan domestik dan selebihnya pelaburan asing.
Sepuluh lagi projek dalam perancangan dan bernilai RM600 juta, meliputi pelaburan domestik dan asing, katanya pada sidang media selepas pelancaran laporan unjuran industri peranti perubatan Industri Perubatan Malaysia (AMMI) 2015 di sini hari ini.
Beliau berkata AMMI memain peranan penting dalam pembangunan industri peranti perubatan, yang meletakkan Malaysia sebagai hab pengeluaran peranti perubatan serantau.
Azman berkata keupayaan itu disokong oleh ekosistem kukuh peranti perubatan dan badan penilaian pematuhan global yang sudah pun beroperasi di negara ini.
Industri ini menjanjikan peluang besar memandangkan ia memain peranan penting dalam mengukuhkan landskap penjagaan kesihatan dan kebolehpercayaannya diperakui di seluruh dunia, dengan eksport meningkat 13 peratus kepada RM13.5 bilion pada 2014, katanya.
Beliau berkata pertumbuhan pesat itu juga direkodkan dalam empat bulan pertama tahun ini, dengan eksport bernilai RM4.8 bilion berbanding RM4.2 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Setakat ini, Malaysia mempunyai lebih 190 pengeluar peranti perubatan dengan pelaburan bernilai RM13.2 bilion dan 57,872 pekerja, katanya.
Azman berkata kehadiran syarikat multinasional seperti Ansell, Ambu B.Braun, Haemonetics dan St Jude Medical, telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan industri itu dalam negara.
Syarikat tempatan yang menceburi industri itu termasuk ABio Orthopedics, Straits Orthopedics, UWC Healthcare, Top Glove dan banyak lagi, katanya.
“Industri ini berorientasikan eksport, mempunyai nilai tambah yang tinggi, banyak limpahan kepada industri tempatan, sudah pasti kami menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam industri dengan menawarkan pakej-pakej insentif yang baik,” kata Azman.
— BERNAMA, 15 July 2015